Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) yang juga dikenali sebagai Malaysian Translators Association (MTA) dalam bahasa Inggeris adalah sebuah badan bukan-kerajaan (NGO) profesional yang menangani segala aspek yang berkaitan dengan bidang terjemahan pada amnya dan yang relevan dari aspek akademik, hubungan antarabangsa dan fungsi sosial yang berkaitan dengannya.  Perlunya ditubuhkan sebuah pertubuhan menjadi amat ketara dan mendesak dalam usaha menggalakkan, melindungi dan seterusnya melestarikan unsur profesionalisme baik dalam terjemahan mahupun kod etika para penterjemah.

 

PPM atau MTA diilhamkan penubuhannya dan didaftar sebagai sebuah persatuan profesional yang mencakup ahli-ahli penterjemah yang gigih dan beriltizam yang dapat terus meningkatkan minat dan kerjaya mereka dalam bidang terjemahan.  Persatuan ini ditubuhkan pada tahun 1979 di bawah naungan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, yang dimanahkan untuk bertindak sebagai nadi pembinaan dan pengembangan bahasa kebangsaan. Kini PPM telah menghimpunkan seramai lebih daripada 1200 ahli yang terdiri daripada para sarjana, ilmuwan dan penyelidik dalam bidang terjemahan dan para pengamal penterjemahan sama ada secara sepenuh masa mahupun secara sambilan.  Tujuan utama penubuhannya adalah untuk meningkatkan profesionalisme dalam semua disiplin yang diterjemah bahannya.  PPM juga prihatin terhadap syarat-syarat amalan profesional penterjemahan dalam kalangan ahlinya dan berusaha untuk mempertahankan hak penterjemah khususnya dan kebebasan bersuara amnya.

 

PPM merupakan anggota Persekutuan Penterjemah Antarabangsa (FIT-IFT), iaitu gabungan persatuan-persatuan penterjemah antarabangsa dari hampir 50 buah negara seantero dunia. Melalui persatuan-persatuan anggotanyalah FIT mewakili dan memperjuangkan kepentingan moral dan material lebih daripada 60,000 penterjemah dari lima benua. 

VISI

Peningkatan terjemahan oleh penterjemah yang berwibawa serta profesional agar hasil karya mereka mematuhi serta mencapai tahap piawaian dan amalan yang diiktiraf di peringkat negara dan antarabangsa.    

MISI

- Untuk menghasilkan karya terjemahan yang bermutu tinggi yang tepat padanannya dari segi makna dalam teks asal.

-  Untuk memajukan dan memperjuangkan kepentingan penterjemah dari segi moral dan material.

-  Untuk menyokong dan memajukankan pengiktirafan penterjemahan sebagai suatu kerjaya, dan meningkatkan status penterjemah dalam kalangan masyarakat.

-  Mengendalikan dan mentadbir khidmat menterjemah secara profesional, jitu dan berwibawa.

 

TUJUAN

Tujuan utama Persatuan ini adalah seperti yang berikut:

 

  • Mempererat dan memperkukuh kerjasama di antara para penterjemah demi memperbaik dan meningkatkan mutu terjemahan para penterjemah di seluruh Malaysia;

 

  • Memberi sumbangan positif terhadap usaha untuk memperbanyak bahan bacaan dalam Bahasa Melayu yang meliputi semua bidang ilmu;

 

  • Berusaha ke arah memperkaya, membina dan mengembangkan Bahasa Melayu melalui terjemahan;

 

  • Mempertahan dan memperjuangkan hak dan kepentingan sah para penterjemah;

 

  • Memberi sumbangan positif kepada penterjemah dalam menjalankan tugasnya;

 

  • Berusaha memajukan bakat penterjemah dan berusaha menjadikan penterjemahan sebagai satu profesion yang dapat dibanggakan;

 

  • Menimbulkan minat pembacaan karya terjemahan di kalangan rakyat Malaysia.